Halaman

Sabtu, 23 Januari 2010

Isu 1: Masalah berkaitan ketidakmampuan pesakit membiayai kos/ caj rawatan di hospital kerajaan

Isu-isu berbangkit:-

1) Kategori pesakit tidak mampu:-

a. Tiada duit pada masa pembayaran

b. Latarbelakang sosioekonomi rendah

2) Kategori pesakit berdasarkan jarak

a. Sekitar Ipoh

b. Luar Ipoh- sekitar negeri Perak dan Malaysia

3) Kategori pesakit berdasarkan kemampuan

a. Bayar separuh

b. Pengecualian penuh

4) Kategori pesakit mengikut kadar bil (Kadar perlu ditentukan oleh Unit Hasil)

a. Bil kos tinggi*

b. Bil kos rendah*

Pelan Intervensi:-

  1. Minta dokumen berkaitan- slip gaji, pengesahan ketua kampong, kad OKU, kad JKM, surat JKM.
    • Unit Hasil perlu isytiharkan dokumen sokongan yang boleh digunakan dan diiktiraf sahaja.

  1. Penilaian sosioekonomi- mengenalpasti masalah pesakit, implikasi psikososial dan kaitan dengan tahap kemampuan.
    • Unit Hasil perlu minta kerjasama Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

  1. Bagi pesakit yang tidak mempunyai slip gaji, sediakan format boring untuk pengesahan, Ketua Kampung, YB, Pegawai Gred A dsb.
    • Unit Hasil perlu mewujudkan borang.

  1. Bagi kes-kes di luar Ipoh, mohon agar kakitangan Unit Hasil kenalpasti serta laporkan kepada Ketua Unit Hasil bagi tujuan mengenalpasti latarbelakang serta kaedah bayaran yang akan dilakukan. Staf Hasil boleh menerangkan atau menyediakan pamphlet maklumat berkenaan checklist dokumen yang diperlukan sekiranya pesakit tidak mampu membiayai kos rawatan.
    • Staf Unit Hasil di wad-wad perlu peka dengan kemasukan pesakit luar Perak dan bersedia untuk sebarang kebarangkalian pesakit tersebut tidak mampu bayar. Minta kerjasama waris untuk menyediakan dokumen berkenaan atau rujuk Pegawai Kerja Sosial Perubatan sekiranya perlu.

Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan: Bantuan Pesakit Kronik

Secara amnya, perkhidmatan kerja sosial perubatan merangkumi pelbagai isu psikososial dan sosioekonomi yang melibatkan pendekatan multi-disiplin dalam mencapai obejktif ‘total patient care’. Hospital kini bukan sahaja berperanan memberi rawatan kepada pesakit tetapi juga menjadi pengurus kepada pesakit dalam usaha meningkatkan lagi tahap kefungsian pesakit.

Unit Kerja Sosial Perubatan merupakan salah satu daripada perkhidmatan ‘allied health professional’ yang terlibat secara langsung dalam proses membantu pesakit. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan merangkumi pengurusan kes psikososial dan sosioekonomi seperti pengurusan kes pesakit kroniki, kes-kes penderaan kanak-kanak, kes bantuan Orang Kurang Upaya, kes keganasan rumahtangga, perancangan keluar wad dsb.

Mutakhir ini peningkatan dalam kes-kes rujukan pesakit kronik ke hospital-hospital kerajaan semakin meningkat. Sejajar dengan itu, pelbagai masalah psikososial berkaitan dengan penyakit telahpun timbul dan menggugat kebajikan dan kesejahteraan kehidupan pesakit.Penyakit penyakit kronik (cth. angin ahmar, masalah jantung, kencing manis, masalah kegagalan buah pinggang, HIV/AIDS, kanser dsb) mempunyai implikasi psikosial yang tersendiri. Isu-isu seperti ketidakmampuan untuk membiayai kos rawatan yang tinggi, persekolahan anak-anak, kehilangan tempat bergantung, kegagalan meneruskan rawatan susulan, kurang motivasi dan keyakinan diri adalah antara isu yang dihadapi oleh pesakit dan juga keluarga.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun mewujudkan Unit Kerja Sosial Perubatan bagi menguruskan serta memberi perhatian khusus kepada isu-isu psikososial yang disebabkan oleh penyakit-penyakit termasuk penyakit kronik dengan tujuan agar pesakit khususnya dapat mengembalikan semula kesejahteraan serta mencapai tahap kefungsian sosial sewajarnya.

Di Negeri Perak Darul Ridzuan sahaja terdapat 6 Unit Kerja Sosial Perubatan masing-masing ditempatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan, Hospital Seri Manjung dan Hospital Slim River.

Antara isu-isu yang biasa dikendalikan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan dalam pengurusan penyakit kronik merangkumi aspek-aspek berikut:-

1) Tahap kesedaran serta pengetahuan pesakit mengenai penyakit yang dihidapi .

2) Tahap kesedaran pesakit mengenai rawatan yang dirancang bersama Pegawai Perubatan.

3) Kesan penyakit terhadap kefungsian sosial.

4) Motivasi pesakit dalam usaha penjagaan kesihatan.

5) Aspek penyesuaian semula rol dalam keluarga dan masyarakat.

6) Aspek sokongan keluarga dan sosial terhadap pesakit kronik.

Dalam setiap aspek yang dinilai, terdapat isu-isu psikososial yang perlu diperinci dalam usaha membantu pesakit. Sebagai contoh Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu memastikan tahap kesedaran dan pengetahuan klien adalah ditahap yang memuaskan/ bersedia untuk dibantu dan mengikuti perancangan rawatan seperti yang dibincangkan bersama Pakar/ Pegawai Perubatan.

Dalam usaha perawatan pula, PKSP perlu berbincang dengan Pakar/ Pegawai Perubatan mengenai sebarang keperluan rawatan yang perlu dibiayai oleh pesakit sendiri serta tahap kemampuan mereka untuk mendapatkan peralatan tersebut. Sekiranya pesakit menghadapi kesukaran dalam membiayai kos rawatan tersebut, PKSP berperanan membantu mencari sumber kewangan bagi membantu pesakit membiayai kos tersebut.

Selain itu, PKSP juga perlu menilai kesan penyakit terhadap kefungsian sosial pesakit. Sebagai contoh seorang ketua keluarga/ bapa yang baru disahkan menghidap penyakit buah pinggang (dan perlu menjalani rawatan dialisis), mempunyai 6 orang anak yang masih dalam tanggungan, akan menghadapi masalah dalam usaha mencari nafkah keluarga. Sebagai alternatif, PKSP perlu mencari sumber bantuan dari dalam masyarakat bagi membantu keluarga tersebut. Selain itu, penyakit kronik juga akan memberi impak kepada perubahan rol dalam keluarga dan masyarakat. Sehubungan dengan itu, PKSO berperanan untuk membantu pesakit meningkatkan lagi tahap ‘coping skill’ dalam menghadapi cabaran-cabaran yang bakal dihadapi.

Dalam usaha memastikan penjagaan pesakit dilakukan secara efektif, PKSP juga bertanggungjawab memastikan penempatan pesakit adalah bersesuaian dengan tahap ketidakupayaan serta menerima sokongan keluarga/ sosial yang sewajarnya. Alternatif penempatan perlu disediakan sekiranya penempatan sedia ada tidak sesuai serta tiada sokongan keluarga/ sosial.

Antara badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang menjadi rujukan utama Unit Kerja Sosial Perubatan dalam usaha membantu pesakit termasuklah Tabung Bantuan Perubatan dibawah Kementerian Kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah-daerah Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Veteran Angkatan Tentera dsb. Manakala badan-badan bukan kerajaan adalah merangkumi, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Persatuan Penyaraan dan Pemeliharaan Kanak-kanak Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Befriender, Persatuan Masyarakat Penyanyang dsb.

Bentuk-bentuk bantuan yang disalurkan adalah merangkumi pembiayaian peralatan/ alatan rehabilitasi/ ubat-ubatan rawatan, penempatan pesakit melarat/ warga tua, penempatan institusi latihan yang bersesuain dengan ketidakupayaan, bantuan sara diri bulanan, bantuan persekolahan, kaunseling individu dan kelompok dsb.

BANTU


Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611)

Akta 611 telah memansuhkan tiga statut yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan telah menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.

Muat turun akta disini




Jumaat, 22 Januari 2010

Peraturan Permohonan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan- JPA(SARAAN)(S) 264/15/16-4 (5)

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 21 TAHUN 2009

Deskripsi

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan peraturan permohonan perbelanjaan bagi kemudahan perubatan yang diperolehi oleh pegawai dan pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan yang menerima pencen serta ahli keluarga mereka yang berkelayakan.

Selaras dengan hasrat untuk mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, Kerajaan telah bersetuju supaya peraturan permohonan perbelanjaan kemudahan perubatan sebagaimana yang ditetapkan dalam Perintah Am Bab F Tahun 1974, PP Bil. 4/2001 dan SPP Bil. 1/1993 ditambah baik.

Muat turun pekeliling disini