Halaman

Khamis, 27 Mei 2010

MENINGKATKAN PROFESIONALISME DALAM BIDANG KERJA SOSIAL DI MALAYSIA: SHAHRIZAT

Pekerja sosial pada masa kini menghadapi pelbagai cabaran berikutan peningkatan isu-isu sosial yang semakin kompleks seperti penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, jenayah di kalangan kanak-kanak, pengabaian warga emas, keganasan rumah tangga, pengemis, kanak-kanak jalanan dan sebagainya. Sehubungan itu, tindakan intervensi dan penyelesaian masalah sosial memerlukan tenaga kerja profesional yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kerja sosial.

DS Shahrizat Abdul Jalil berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah pun mengambil inisiatif untuk mendapat kelulusan Kabinet tentang tindakan masa panjang yang substantif untuk menangani masalah-masalah sosial di negara ini dan berusaha untuk membangun dan mewujudkan perkhidmatan kebajikan yang berkualiti.

Kementerian telah memperjuangkan satu era baru di dalam bidang kerja sosial di mana Piawaian Kompetensi Kerja Sosial Kebangsaan diwujudkan. Piawaian ini akan menjadi satu penandaarasan kecekapan untuk amalan kerja sosial dalam memberikan perkhidmatan kebajikan yang profesional dan berkualiti kepada kumpulan sasar.

Pada 23 April 2010, Kabinet telahpun meluluskan cadangan-cadangan daripada Kementerian seperti yang berikut:

i) Mewujudkan Piawaian Kecekapan Kerja Sosial Kebangsaan;

ii) Untuk Kementerian Pengajian Tinggi menyeragamkan kurikulum pendidikan kerja sosial di semua institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan kursus ijazah kerja sosial;

iii) Untuk menggubal Akta Pekerja Sosial;

iv) Untuk menubuhkan Majlis Kerja Sosial untuk mengawal selia pengamal dan pendidik kerja sosial;

v) Untuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan syarat kelayakan lantikan pekerja sosial dalam sektor awam, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pula membuat pengambilan pekerja sosial ke dalam perkhidmatan awam yang menepati syarat kelayakan lantikan tersebut; dan

vi) Untuk menaik taraf Institut Sosial Malaysia dan institusi lain yang diakreditasikan untuk menawarkan kursus dalam bidang kerja sosial di peringkat sijil dan diploma.

Kementerian akan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keputusan Kabinet diimplementasikan dengan segera.

Sehubungan itu, peningkatan tahap profesionalisme dalam bidang kerja sosial mencerminkan komitmen Kementerian ini terhadap penjagaan, keselamatan dan perlindungan semua warga Negara, khususnya golongan yang memerlukan seperti kanak-kanak dan orang kurang upaya serta mereka yang mengalami masalah fizikal dan mental dan golongan lain yang terdedah kepada eksploitasi dan ancaman.